17 Gideon juga merobohkan menara kota Penuel dan membunuh semua orang lelaki di kota itu.
18 Selepas itu Gideon bertanya kepada Zebah dan Salmuna, “Bagaimanakah rupa orang yang kamu bunuh di Tabor itu?”Mereka menjawab, “Rupa mereka mirip kamu, seperti keturunan bangsawan.”
19 Gideon berkata, “Mereka saudaraku, anak-anak ibuku. Aku bersumpah bahawa jika kamu tidak membunuh mereka, aku pun tidak akan membunuh kamu.”
20 Kemudian Gideon berkata kepada Yeter, anak sulungnya yang lelaki, “Bunuhlah mereka!” Tetapi Yeter tidak menghunus pedangnya. Dia takut kerana dia masih muda.
21 Zebah dan Salmuna berkata kepada Gideon, “Ayuh, kalau engkau lelaki, bunuhlah kami dengan tanganmu sendiri!” Oleh itu Gideon membunuh mereka, lalu mengambil semua perhiasan yang ada pada leher unta mereka.
22 Selepas itu umat Israel berkata kepada Gideon, “Tuan telah menyelamatkan kami daripada kekuasaan orang Midian. Sekarang hendaklah tuan menjadi pemimpin kami - tuan dan keturunan tuan.”
23 Gideon menjawab, “Saya tidak akan menjadi pemimpin kamu; anak saya pun tidak. TUHAN yang menjadi pemimpin kamu.”