19 Gideon berkata, “Mereka saudaraku, anak-anak ibuku. Aku bersumpah bahawa jika kamu tidak membunuh mereka, aku pun tidak akan membunuh kamu.”
20 Kemudian Gideon berkata kepada Yeter, anak sulungnya yang lelaki, “Bunuhlah mereka!” Tetapi Yeter tidak menghunus pedangnya. Dia takut kerana dia masih muda.
21 Zebah dan Salmuna berkata kepada Gideon, “Ayuh, kalau engkau lelaki, bunuhlah kami dengan tanganmu sendiri!” Oleh itu Gideon membunuh mereka, lalu mengambil semua perhiasan yang ada pada leher unta mereka.
22 Selepas itu umat Israel berkata kepada Gideon, “Tuan telah menyelamatkan kami daripada kekuasaan orang Midian. Sekarang hendaklah tuan menjadi pemimpin kami - tuan dan keturunan tuan.”
23 Gideon menjawab, “Saya tidak akan menjadi pemimpin kamu; anak saya pun tidak. TUHAN yang menjadi pemimpin kamu.”
24 Tetapi Gideon berkata lagi, “Hanya satu permintaan saya. Hendaklah kamu memberi saya anting-anting yang telah kamu rampas daripada musuh.” (Orang Midian seperti bangsa-bangsa lain yang tinggal di padang gurun, semuanya beranting-anting emas.)
25 Umat Israel menjawab, “Kami rela memberikannya kepada tuan.” Mereka membentangkan sehelai kain, lalu tiap-tiap orang meletakkan anting-anting yang telah dirampasnya di situ.