1 Pada suatu hari, Abimelekh anak Gideon pergi ke kota Sikhem, tempat kaum keluarga ibunya. Di sana dia menyuruh mereka
2 bertanya kepada penduduk Sikhem, “Yang manakah lebih baik? Diperintah oleh tujuh puluh orang anak lelaki Gideon atau oleh seorang saja? Ingatlah bahawa Abimelekh masih ada hubungan darah dengan kamu.”
3 Saudara mara ibu Abimelekh merundingkan hal itu dengan penduduk Sikhem bagi Abimelekh. Kemudian penduduk Sikhem mengambil keputusan untuk mengikut Abimelekh, kerana Abimelekh masih ada hubungan darah dengan mereka.
4 Mereka memberi Abimelekh tujuh puluh keping perak dari kuil Baal-Berit. Dengan wang itu Abimelekh mengupah segerombolan orang jahat untuk bergabung dengannya.
5 Selepas itu dia pergi ke rumah bapanya di Ofra. Di sana, di atas sebuah batu dia membunuh tujuh puluh orang anak lelaki Gideon, saudara-saudaranya itu. Tetapi Yotam, anak bongsu Gideon, menyembunyikan diri sehingga tidak terbunuh.
6 Kemudian penduduk Sikhem dan Bet-Milo berkumpul. Mereka pergi ke bawah pokok oak, iaitu pokok keramat di Sikhem, lalu menabalkan Abimelekh menjadi raja.
7 Apabila Yotam mendengar hal itu, dia berdiri di puncak Gunung Gerizim lalu berseru kepada mereka, “Dengarkan perkataanku, hai penduduk Sikhem, supaya Allah pun mendengarkan kamu!