18 Tetapi sekarang kamu memberontak terhadap keluarga bapaku. Kamu membunuh tujuh puluh orang anak lelakinya di atas sebuah batu, lalu menabalkan Abimelekh semata-mata kerana dia saudara kamu. Abimelekh ialah anak bapaku daripada hamba perempuannya.
19 Jika tindakan kamu terhadap Gideon dan keluarganya pada hari ini memang dilakukan dengan tulus dan ikhlas, bergembiralah kamu dengan Abimelekh, dan biarlah dia juga bergembira dengan kamu.
20 Tetapi jika tidak, biarlah api keluar daripada Abimelekh lalu membakar habis penduduk Sikhem dan Bet-Milo. Begitu juga, biarlah api keluar dari penduduk Sikhem dan Bet-Milo lalu membakar habis Abimelekh.”
21 Selepas itu Yotam lari lalu tinggal di Beer kerana dia takut terhadap Abimelekh, saudaranya itu.
22 Abimelekh memerintah Israel selama tiga tahun.
23 Selepas itu TUHAN menimbulkan permusuhan antara Abimelekh dengan penduduk Sikhem, sehingga mereka memberontak terhadap Abimelekh.
24 Hal itu berlaku supaya terbalas kejahatan Abimelekh dan penduduk Sikhem yang menghasut dia membunuh tujuh puluh orang anak lelaki Gideon.