40 Tetapi Abimelekh menyerang Gaal sehingga dia melarikan diri. Orang yang cedera berjatuhan, sampai di depan pintu gerbang kota.
41 Kemudian Abimelekh kembali ke Aruma, lalu menetap di sana. Zebul mengusir Gaal dan saudara-saudaranya sehingga mereka tidak dapat tinggal di Sikhem lagi.
42 Esok harinya, Abimelekh diberitahu bahawa penduduk Sikhem bercadang untuk pergi ke ladang.
43 Oleh itu Abimelekh membawa anak buahnya, membahagikan mereka kepada tiga pasukan, lalu bersembunyi di ladang. Apabila Abimelekh nampak penduduk kota itu meninggalkan kota, dia keluar dari tempat persembunyian lalu membunuh mereka.
44 Abimelekh dan pasukannya cepat-cepat maju menyerbu pintu gerbang kota itu. Sementara itu dua pasukannya yang lain menyerang orang yang di ladang dan membunuh mereka semua.
45 Abimelekh berperang dengan penduduk kota itu sepanjang hari. Dia merebut kota itu dan membunuh penduduknya. Kemudian dia menghancurkan kota itu, lalu menaburinya dengan garam.
46 Apabila semua pemimpin di dalam kubu di Sikhem mendengar hal itu, mereka masuk ke dalam kubu di bawah kuil El-Berit untuk berlindung.