48 Oleh itu Abimelekh pergi ke Gunung Zalmon bersama dengan anak buahnya. Di sana dia memotong dahan-dahan kayu dengan kapak, lalu memikul dahan-dahan itu. Dia menyuruh anak buahnya cepat-cepat berbuat begitu juga.
49 Masing-masing menebang dahan-dahan kayu, lalu mengikut Abimelekh dan menimbun dahan-dahan itu di mulut kubu kuil. Kemudian mereka membakar dahan-dahan itu ketika orang Sikhem masih di dalam kubu. Oleh itu penduduk Sikhem semuanya mati - kira-kira seribu orang lelaki dan perempuan.
50 Kemudian Abimelekh pergi ke Tebes. Dia mengepung kota itu dan merebutnya.
51 Di tengah-tengah kota itu ada sebuah menara yang kukuh. Semua orang lelaki dan perempuan di kota itu, termasuk para pemimpinnya, lari ke menara itu. Mereka mengunci pintunya dari dalam lalu naik ke atas.
52 Kemudian Abimelekh tiba untuk menyerang menara itu. Apabila dia sampai ke pintu menara itu dan hendak membakarnya,
53 seorang perempuan menjatuhkan sebuah batu kisaran ke atas kepala Abimelekh sehingga meretakkan tempurung kepalanya.
54 Dengan segera Abimelekh memanggil pemuda yang membawa senjatanya, lalu berkata, “Hunuslah pedangmu dan bunuhlah aku. Aku tidak mahu dikatakan orang bahawa aku dibunuh oleh seorang perempuan.” Pemuda itu menikamnya, lalu Abimelekh meninggal.