7 Para pegawai raja berkata kepada raja, “Berapa lama lagi orang itu harus menyusahkan kita? Biarkanlah orang Israel pergi supaya mereka dapat beribadat kepada TUHAN, Allah mereka. Lihatlah, negeri kita ini sudah hancur!”
8 Oleh itu Musa dan Harun dipanggil semula untuk menghadap raja. Raja bertitah kepada mereka, “Kamu boleh pergi untuk beribadat kepada TUHAN, Allah kamu. Tetapi siapakah antara kamu yang akan pergi?”
9 Musa menjawab, “Kami semua akan pergi, termasuk anak-anak serta orang tua. Anak lelaki dan perempuan, semua domba, kambing, dan lembu akan dibawa kerana kami mesti mengadakan suatu perayaan besar untuk menghormati TUHAN.”
10 Raja bertitah kepada mereka, “Beta bersumpah demi TUHAN bahawa beta tidak akan membenarkan kamu membawa kaum wanita dan anak-anak! Jelaslah bahawa kamu merancang pemberontakan.
11 Tidak! Hanya kaum lelaki boleh pergi untuk beribadat kepada TUHAN, jika hal itu yang kamu mahu.” Selepas itu, Musa dan Harun diusir keluar dari istana.
12 Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Hulurkan tanganmu ke atas tanah Mesir untuk mendatangkan belalang. Belalang akan datang untuk memakan segala tumbuhan yang tidak dimusnahkan oleh hujan batu.”
13 Oleh itu Musa mengangkat tongkatnya, dan TUHAN menyebabkan angin timur bertiup ke negeri itu sepanjang hari dan sepanjang malam. Menjelang pagi, angin itu telah membawa belalang.