1 Segenap umat Israel berangkat dari Elim. Pada hari kelima belas dalam bulan kedua sejak mereka meninggalkan Mesir, mereka tiba di padang gurun Sin yang terletak di antara Elim dan Sinai.
2 Mereka semua bersungut-sungut terhadap Musa dan Harun di padang gurun itu.
3 Mereka berkata kepada Musa dan Harun, “Lebih baik sekiranya kami mati dibunuh oleh TUHAN di Mesir. Di sana sekurang-kurangnya kami dapat duduk, serta makan daging, dan seberapa banyak makanan yang kami inginkan. Tetapi kamu telah membawa kami ke padang gurun ini supaya kami semua mati kelaparan.”
4 TUHAN berfirman kepada Musa, “Sekarang Aku akan menghujani kamu semua dengan makanan dari langit. Tiap-tiap hari umat mesti keluar untuk mengumpulkan roti secukupnya bagi satu hari. Dengan cara ini Aku dapat menguji umat-Ku, supaya Aku tahu sama ada mereka mentaati perintah-Ku atau tidak.
5 Pada hari yang keenam, mereka harus mengumpulkan makanan itu dua kali ganda banyaknya dan menyediakannya.”
6 Oleh itu Musa dan Harun berkata kepada segenap umat Israel, “Pada petang ini kamu akan tahu bahawa TUHAN itulah yang membawa kamu keluar dari Mesir.
7 Pada pagi hari kamu akan melihat cahaya hadirat TUHAN. Dia telah mendengar sungutan kamu terhadap-Nya; ya, terhadap-Nya, kerana kami hanya melaksanakan perintah-Nya.”
8 Kemudian Musa berkata, “TUHAN akan memberi kamu daging untuk dimakan pada waktu petang, dan seberapa banyak roti yang kamu kehendaki pada waktu pagi, kerana Dia telah mendengar betapa seringnya kamu bersungut terhadap-Nya. Sesungguhnya, sungutan kamu bukanlah terhadap kami, tetapi terhadap TUHAN.”
9 Musa berkata kepada Harun, “Suruhlah mereka semua datang menghadap TUHAN, kerana Dia telah mendengar sungutan mereka.”
10 Sedang Harun berucap kepada mereka semua, mereka memandang ke hala padang gurun, dan tiba-tiba cahaya hadirat TUHAN kelihatan di dalam awan.
11 TUHAN berfirman kepada Musa,
12 “Aku telah mendengar sungutan orang Israel. Katakan kepada mereka, bahawa pada waktu petang mereka akan mendapat daging untuk dimakan, dan pada waktu pagi mereka akan mendapat roti sebanyak yang diingini mereka. Oleh itu mereka akan tahu bahawa Akulah TUHAN, Allah mereka.”
13 Pada petang hari, banyak sekali burung puyuh datang ke perkhemahan mereka sehingga meliputi seluruh perkhemahan. Pada waktu pagi, terdapat pula lapisan embun di sekeliling perkhemahan.
14 Setelah embun itu mengewap, sesuatu yang tipis seperti sisik dan halus seperti embun yang beku terdapat di atas padang gurun.
15 Apabila orang Israel melihatnya, mereka tidak tahu apa benda itu. Mereka bertanya satu sama lain, “Apakah benda ini?”Musa berkata kepada mereka, “Inilah makanan yang diberi oleh TUHAN kepada kamu untuk dimakan.
16 TUHAN telah memberikan perintah supaya tiap-tiap orang mengumpulkan makanan itu seberapa banyak yang diperlukannya, iaitu sebanyak dua liter bagi setiap anggota keluarga.”
17 Orang Israel berbuat demikian; ada yang mengumpulkan lebih daripada dua liter dan ada pula yang mengumpulkan kurang daripada itu.
18 Ketika mereka menakarnya, ternyata bahawa orang yang mengumpulkan banyak tidak mendapat lebih, dan orang yang mengumpulkan sedikit tidak pula kekurangan. Tiap-tiap orang mengumpulkan sebanyak yang diperlukannya.
19 Musa berkata kepada mereka, “Tiada sesiapa yang boleh menyimpan makanan walau sedikit pun sehingga esok.”
20 Tetapi ada di kalangan mereka yang tidak mengendahkan kata-kata Musa, lalu menyimpan sebahagian daripada makanan itu. Pagi esoknya, makanan itu berulat dan berbau busuk, lalu Musa marah kepada mereka.
21 Setiap pagi mereka mengumpulkan makanan itu, sebanyak yang diperlukan. Apabila matahari panas terik, makanan yang tertinggal di tanah mencair.
22 Pada hari keenam mereka mengumpulkan makanan dua kali ganda banyaknya, sebanyak empat liter bagi setiap orang. Semua pemimpin umat itu datang dan memberitahukan hal itu kepada Musa.
23 Musa berkata kepada mereka, “TUHAN memerintahkan bahawa esok hari rehat, hari suci yang ditahbiskan bagi-Nya. Pada hari ini bakarlah apa yang hendak kamu bakar, dan rebuslah apa yang hendak kamu rebus. Yang selebihnya, hendaklah diketepikan dan disimpan untuk esok.”
24 Sebagaimana yang telah disuruh oleh Musa, mereka menyimpan lebihan makanan itu sehingga hari berikutnya; makanan itu tidak menjadi basi dan tidak berulat.
25 Musa berkata, “Makanlah makanan ini pada hari ini, kerana hari ini hari Sabat, hari rehat yang telah ditahbiskan bagi TUHAN. Kamu tidak akan mendapat sebarang makanan di luar perkhemahan.
26 Kamu mesti mengumpulkan makanan selama enam hari, tetapi pada hari ketujuh, hari rehat itu, tidak ada makanan untuk dipungut.”
27 Pada hari ketujuh beberapa orang antara umat itu keluar untuk mengumpulkan makanan, tetapi tidak mendapati apa-apa.
28 Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Berapa lama lagi kamu tidak mahu taat kepada perintah-Ku?
29 Ingatlah bahawa Aku, TUHAN telah memberikan hari rehat kepada kamu. Itulah sebabnya, pada hari keenam Aku memberi kamu makanan yang cukup untuk dua hari. Pada hari ketujuh setiap orang mesti tinggal di tempat masing-masing, dan tidak boleh meninggalkan rumahnya.”
30 Oleh itu mereka tidak bekerja pada hari ketujuh.
31 Umat Israel menamakan makanan itu manna. Rupanya seperti biji-biji kecil berwarna putih dan rasanya seperti biskut yang dibuat dengan madu.
32 Musa berkata, “TUHAN telah menyuruh kita menyimpan sedikit manna untuk keturunan kita, supaya mereka dapat melihat makanan yang diberikan TUHAN kepada kita di padang gurun, ketika Dia membawa kita keluar dari Mesir.”
33 Musa berkata kepada Harun, “Ambillah sebuah balang dan isilah dengan dua liter manna, lalu letakkan balang itu di hadapan TUHAN, untuk disimpan bagi keturunan kita.”
34 Harun meletakkan balang itu di hadapan Tabut Perjanjian untuk disimpan, menurut perintah TUHAN kepada Musa.
35 Orang Israel memakan manna selama empat puluh tahun sehingga mereka tiba di tanah Kanaan, tempat mereka menetap. (
36 Takaran benda kering yang biasa dipakai orang pada zaman itu, berisi dua puluh liter.)