1-2 Kemudian orang Israel meninggalkan Rafidim. Pada hari pertama bulan ketiga setelah mereka keluar dari Mesir, mereka sampai di padang gurun Sinai. Mereka memasang khemah di situ, di kaki Gunung Sinai.
3 Musa naik ke atas gunung itu untuk bertemu dengan Allah.TUHAN memanggil Musa dari gunung itu dan menyuruh dia memberitahu orang Israel, keturunan Yakub,
4 “Kamu telah melihat apa yang Aku lakukan kepada orang Mesir, dan bagaimana Aku membawa kamu kepada-Ku di tempat ini, seperti seekor burung helang yang membawa anaknya di atas sayapnya.
5 Sekarang, jika kamu taat kepada-Ku dan setia kepada perjanjian-Ku, kamu akan menjadi umat-Ku sendiri. Seluruh bumi ini kepunyaan-Ku, tetapi kamu akan menjadi umat pilihan-Ku.
6 Kamu akan menjadi umat yang ditahbiskan untuk diri-Ku sendiri, dan kamu akan mengabdikan diri kepada-Ku sebagai imam.”
7 Oleh itu Musa turun, lalu memanggil para pemimpin umat supaya berkumpul. Kemudian dia memberitahu mereka segala perkara yang diperintahkan TUHAN kepadanya.
8 Segenap umat menjawab dengan serentak, “Kami akan melakukan segala yang telah difirmankan TUHAN.” Musa melaporkan hal ini kepada TUHAN.
9 TUHAN berfirman kepada Musa, “Aku akan datang kepadamu dalam awan yang tebal agar umat dapat mendengar Aku berfirman kepadamu; mulai saat itu mereka akan sentiasa percaya kepadamu.”Musa menyampaikan jawapan umat kepada TUHAN.
10 TUHAN berfirman kepadanya, “Pergilah menemui umat dan suruh mereka menyucikan diri pada hari ini dan esok. Mereka mesti membasuh pakaian mereka
11 dan siap pada hari lusa. Pada hari itu Aku akan turun ke Gunung Sinai. Di situ segenap umat akan dapat melihat Aku.
12 Buatlah sempadan di sekeliling gunung itu supaya umat tidak melintasinya. Beritahulah mereka supaya tidak naik ke gunung itu ataupun mendekatinya. Sesiapa yang melintasi sempadan itu akan dihukum mati.
13 Orang itu mesti direjam ataupun dipanah, dan tidak boleh disentuh oleh sesiapa pun. Peraturan ini berlaku kepada manusia dan binatang; semua yang melintasi sempadan itu tidak boleh dibiarkan hidup. Tetapi apabila kedengaran bunyi panjang dari trompet, umat harus mendaki gunung.”
14 Kemudian Musa turun dari gunung dan menyuruh umat bersiap untuk beribadat. Mereka membasuh pakaian,
15 lalu Musa berkata kepada mereka, “Bersiaplah untuk hari lusa, dan sementara ini kamu tidak boleh bersetubuh.”
16 Pada hari yang ketiga, pada waktu pagi, ada guruh dan kilat di atas gunung. Awan yang tebal kelihatan di situ, dan bunyi trompet yang kuat sekali kedengaran. Segenap umat di perkhemahan itu gementar ketakutan.
17 Musa membawa mereka keluar dari perkhemahan untuk bertemu dengan Allah, lalu mereka berdiri di kaki gunung.
18 Seluruh Gunung Sinai diliputi asap kerana TUHAN telah turun ke atasnya di dalam api. Asap itu naik berkepul-kepul seperti asap relau, dan seluruh gunung itu bergoncang dengan kuat.
19 Bunyi trompet semakin kuat. Musa berkata-kata dan Allah menjawabnya dengan guruh.
20 TUHAN turun di atas puncak Gunung Sinai, lalu memanggil Musa ke atas gunung itu. Musa mendaki gunung,
21 lalu TUHAN berfirman kepadanya, “Turunlah dan ingatkan umat supaya tidak melintasi sempadan itu untuk melihat Aku. Jika mereka melintasinya, banyak orang akan mati.
22 Imam-imam sekalipun yang datang menghampiri Aku mesti menyucikan diri. Jika tidak, Aku akan menghukum mereka.”
23 Musa berkata kepada TUHAN, “Umat tidak dapat naik ke sini, kerana Engkau telah menyuruh kami menganggap gunung ini suci dan membuat sempadan di sekelilingnya.”
24 TUHAN menjawab, “Turunlah, lalu baliklah ke sini bersama-sama Harun. Tetapi para imam dan umat yang lain tidak boleh melintasi sempadan itu untuk datang kepada-Ku. Jika mereka melintasinya, Aku akan menghukum mereka.”
25 Kemudian Musa turun untuk menemui umat dan memberitahu mereka apa yang telah difirmankan TUHAN.