Keluaran 13:11-17 BM

11 Musa berkata kepada orang Israel, “TUHAN akan membawa kamu ke tanah orang Kanaan, yang telah dijanjikan-Nya kepada kamu dan nenek moyang kamu. Selepas Dia memberikannya kepada kamu,

12 kamu mesti mempersembahkan setiap anak lelaki sulung kepada TUHAN. Setiap anak jantan sulung ternakan kamu adalah kepunyaan TUHAN.

13 Tetapi setiap anak jantan sulung keldai mesti kamu tebus daripada-Nya dengan mempersembahkan seekor anak domba sebagai ganti. Jika kamu tidak mahu menebus anak keldai itu, kamu mesti mematahkan lehernya. Kamu mesti menebus setiap anak lelaki sulung kamu.

14 Pada masa hadapan, apabila anak lelaki kamu bertanya akan makna semuanya ini, hendaklah kamu menjawab begini, ‘Dengan kuasa yang besar, TUHAN telah membawa kita keluar dari Mesir, tempat kita dijadikan hamba.

15 Ketika raja Mesir berdegil dan tidak mahu membenarkan kita pergi, TUHAN membunuh setiap anak lelaki sulung dan setiap anak jantan sulung ternakan di Mesir. Itulah sebabnya kita mempersembahkan setiap anak jantan sulung ternakan sebagai korban kepada TUHAN, tetapi kita menebus anak lelaki sulung kita.

16 Perayaan ini akan menjadi satu peringatan, seperti tanda yang diikat pada tangan atau dahi kita, untuk mengingatkan kita bahawa TUHAN telah membawa kita keluar dari Mesir dengan kuasa-Nya yang besar.’ ”

17 Apabila raja Mesir membenarkan orang Israel pergi, Allah tidak memimpin mereka mengikut jalan yang melalui negeri Filistin, walaupun jalan itu yang paling pendek. Allah berfikir, “Aku tidak mahu umat ini mengubah fikiran, lalu balik ke Mesir apabila mereka tahu bahawa mereka mesti berperang.”