1 Segenap umat Israel meninggalkan padang gurun Sin dan berpindah-pindah dari satu tempat ke tempat lain mengikut perintah TUHAN. Mereka berkhemah di Rafidim, tetapi mereka tidak mendapati air minum di sana.
2 Mereka bersungut-sungut terhadap Musa dan berkata, “Berilah kami air minum.”Musa menjawab, “Mengapakah kamu bersungut-sungut? Mengapakah kamu menguji TUHAN?”
3 Tetapi umat itu terlalu dahaga dan terus-menerus bersungut terhadap Musa. Mereka berkata, “Mengapa kamu membawa kami keluar dari Mesir? Adakah supaya kami dan anak-anak kami, serta ternakan kami mati kehausan?”
4 Musa berdoa dengan sungguh-sungguh kepada TUHAN dan berkata, “Apakah yang harus aku lakukan terhadap umat ini? Mereka mahu merejam aku.”
5 TUHAN berfirman kepada Musa, “Panggillah beberapa orang pemimpin Israel dan berjalanlah bersama dengan mereka mendahului umat. Bawa juga tongkat yang engkau gunakan untuk memukul Sungai Nil.
6 Aku akan berdiri di hadapan kamu di atas sebuah batu besar di Gunung Sinai. Pukullah batu itu, maka air akan memancar untuk diminum orang.” Musa melakukan hal itu di hadapan para pemimpin orang Israel.