6 Aku akan berdiri di hadapan kamu di atas sebuah batu besar di Gunung Sinai. Pukullah batu itu, maka air akan memancar untuk diminum orang.” Musa melakukan hal itu di hadapan para pemimpin orang Israel.
7 Tempat itu dinamakan Masa dan Meriba kerana orang Israel bersungut-sungut dan menguji TUHAN ketika mereka bertanya, “Adakah TUHAN menyertai kita atau tidak?”
8 Orang Amalek datang dan menyerang orang Israel di Rafidim.
9 Musa berkata kepada Yosua, “Pilihlah beberapa orang untuk memerangi orang Amalek esok. Aku akan berdiri di puncak bukit sambil memegang tongkat sebagaimana yang disuruh Allah.”
10 Yosua melakukan apa yang disuruh Musa lalu keluar memerangi orang Amalek, sementara Musa, Harun, dan Hur naik ke puncak bukit.
11 Selama Musa mengangkat tangannya, orang Israel menang, tetapi apabila dia menurunkan tangannya, orang Amalek pula mula menang.
12 Apabila tangan Musa berasa letih, Harun dan Hur mengambil sebuah batu lalu menyuruh Musa duduk di atasnya, sementara mereka berdiri di sisinya untuk menunjang tangan Musa. Mereka menunjang tangan Musa sehingga matahari terbenam.