2 Oleh itu Yitro bersama dengan Zipora datang melawat Musa. Zipora ialah isteri Musa, yang masih tinggal di Midian.
3 Yitro juga membawa Gersom dan Eliezer, dua orang anak lelaki Zipora. (Musa pernah berkata, “Aku seorang asing di tanah yang tidak aku kenali.” Oleh itu dia menamakan seorang daripada anak lelakinya Gersom.
4 Dia juga berkata, “Allah yang disembah bapaku telah menolong dan menyelamatkan aku daripada dibunuh oleh raja Mesir.” Oleh itu dia menamakan anak lelakinya yang seorang lagi Eliezer.)
5 Yitro datang bersama dengan isteri dan anak-anak lelaki Musa ke padang gurun, tempat Musa berkhemah dekat gunung suci.
6 Yitro telah mengirim khabar kepada Musa bahawa mereka sedang datang.
7 Oleh itu Musa keluar untuk menyambutnya. Dia bersujud di hadapan Yitro lalu menciumnya. Mereka saling bertanya tentang kesihatan masing-masing, lalu masuk ke khemah Musa.
8 Musa memberitahu Yitro segala perbuatan TUHAN terhadap raja dan orang Mesir untuk menyelamatkan orang Israel. Dia juga memberitahu Yitro tentang kesusahan yang dihadapi mereka dalam perjalanan dan bagaimana mereka telah diselamatkan oleh TUHAN.