6 Yitro telah mengirim khabar kepada Musa bahawa mereka sedang datang.
7 Oleh itu Musa keluar untuk menyambutnya. Dia bersujud di hadapan Yitro lalu menciumnya. Mereka saling bertanya tentang kesihatan masing-masing, lalu masuk ke khemah Musa.
8 Musa memberitahu Yitro segala perbuatan TUHAN terhadap raja dan orang Mesir untuk menyelamatkan orang Israel. Dia juga memberitahu Yitro tentang kesusahan yang dihadapi mereka dalam perjalanan dan bagaimana mereka telah diselamatkan oleh TUHAN.
9 Yitro sangat gembira apabila mendengar segala perkara itu.
10 Dia berkata, “Pujilah TUHAN yang telah menyelamatkan kamu daripada raja dan orang Mesir. Pujilah TUHAN yang telah menyelamatkan umat-Nya daripada perhambaan!
11 Sekarang aku tahu bahawa TUHAN lebih agung daripada semua tuhan, kerana Dia melakukan semua itu ketika orang Mesir bertindak dengan sangat angkuh terhadap orang Israel.”
12 Kemudian Yitro membawa persembahan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, dan juga korban-korban lain untuk dipersembahkan kepada Allah. Harun dan semua pemimpin orang Israel pergi dengan Yitro untuk makan bersama-sama di hadirat Allah.