17 Tiap-tiap tahun, pada masa tiga perayaan itu, semua orang lelaki mesti datang beribadat kepada-Ku, TUHAN, Allah kamu.
18 Jangan persembahkan roti yang beragi apabila kamu mempersembahkan binatang sebagai korban kepada-Ku. Lemak binatang yang dipersembahkan kepada-Ku selama perayaan-perayaan ini tidak boleh ditinggalkan sehingga esok pagi.
19 Tiap-tiap tahun, bawalah hasil pertama yang terbaik daripada tanaman kamu, ke rumah TUHAN, Allah kamu.Jangan masak anak domba atau anak kambing di dalam air susu induknya.”
20 “Aku akan mengutus malaikat-Ku mendahului kamu untuk melindungi kamu dalam perjalanan dan membawa kamu ke tempat yang telah Aku sediakan.
21 Dengarkanlah dan taatilah dia. Jangan berontak terhadap dia kerana dia utusan-Ku. Dia tidak akan mengampunkan pemberontakan yang demikian.
22 Tetapi jika kamu taat kepadanya dan melakukan segala perintah-Ku, Aku akan berperang menentang semua musuh kamu.
23 Malaikat-Ku akan mendahului kamu serta membawa kamu ke negeri orang Amori, Het, Feris, Kanaan, Hewi, dan Yebusi; Aku akan membinasakan mereka.