1 Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Naiklah ke gunung untuk menghadap Aku, engkau bersama dengan Harun, Nadab, Abihu, dan tujuh puluh orang pemimpin Israel, lalu sujudlah menyembah Aku dari jauh.
2 Engkau seorang sahaja yang boleh menghampiri Aku; yang lain tidak boleh datang dekat-dekat, dan rakyat tidak boleh naik ke gunung ini.”
3 Musa pergi dan memberitahu umat itu segala perintah dan peraturan TUHAN. Segenap umat menjawab dengan serentak, “Kami akan melakukan segala yang difirmankan oleh TUHAN.”
4 Selepas itu Musa mencatatkan segala perintah TUHAN. Awal pagi esoknya, Musa membina sebuah mazbah di kaki gunung itu, lalu mendirikan dua belas buah batu; setiap batu mewakili salah satu suku Israel.
5 Kemudian Musa mengutus beberapa orang muda untuk mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN dan juga mempersembahkan beberapa ekor lembu sebagai korban untuk memohon berkat TUHAN.