17 Potonglah domba itu menjadi beberapa potongan. Basuhlah isi perut dan pahanya, lalu letakkan semuanya di atas kepala domba jantan itu dan potongan-potongan yang lain.
18 Bakarlah seluruh domba jantan itu di atas mazbah sebagai persembahan makanan.
19 Ambillah domba jantan yang seekor lagi, iaitu domba yang digunakan untuk upacara pentahbisan. Suruh Harun dan anak-anaknya meletakkan tangan ke atas kepala domba jantan itu.
20 Sembelihlah domba jantan itu. Kemudian ambil sedikit darahnya dan sapukan darah itu pada cuping telinga kanan Harun dan anak-anaknya, dan pada ibu jari tangan kanan, serta pada ibu jari kaki kanan mereka. Siramkan sisa darah itu pada keempat-empat sisi mazbah itu.
21 Ambil sedikit darah yang di atas mazbah dan sedikit minyak upacara, lalu renjiskan semuanya pada Harun dan pakaiannya, dan juga pada anak-anaknya serta pakaian mereka. Dengan cara ini, Harun, anak-anaknya, serta pakaian mereka akan ditahbiskan untuk-Ku.
22 Ambillah lemak domba jantan itu, ekornya yang berlemak, lemak yang meliputi isi perut, bahagian yang paling baik pada hati, dua biji buah pinggang dengan lemaknya, serta paha kanan domba.
23 Dari bakul roti yang telah dipersembahkan kepada-Ku, ambillah satu daripada tiap-tiap jenis roti itu: satu yang dibuat dengan minyak zaitun, satu yang dibuat tanpa minyak zaitun, dan satu roti nipis.