28 Inilah keputusan-Ku yang tidak dapat diubah: Apabila umat-Ku datang untuk mempersembahkan korban untuk memohon berkat TUHAN, dada dan paha binatang itu harus diberikan kepada imam-imam. Bahagian itulah persembahan daripada umat-Ku kepada Aku, TUHAN.
29 Pakaian imam kepunyaan Harun harus diwariskan kepada anak-anaknya selepas dia meninggal, agar mereka dapat memakainya apabila ditahbiskan.
30 Anak Harun yang menggantikan Harun sebagai imam, dan yang memasuki Khemah-Ku untuk bertugas di dalam Bilik Suci, harus memakai pakaian itu selama tujuh hari.
31 Ambillah daging domba jantan yang digunakan untuk pentahbisan Harun dan anak-anaknya, lalu rebuslah daging itu di tempat yang suci.
32 Harun dan anak-anaknya mesti makan daging domba itu serta sisa roti di dalam bakul, di pintu masuk Khemah hadirat-Ku.
33 Mereka mesti makan apa yang digunakan dalam upacara pengampunan dosa pada masa pentahbisan mereka. Hanya imam yang boleh makan makanan itu kerana makanan itu suci.
34 Jika pada keesokan paginya, masih ada daging atau roti yang tidak habis dimakan, makanan itu mesti dibakar dan tidak boleh dimakan kerana makanan itu suci.