Keluaran 3:14-20 BM

14 Allah berfirman kepada Musa, “Aku adalah AKU. Inilah yang mesti engkau katakan kepada mereka, ‘Dia yang menyebut diri-Nya AKU sudah mengutus saya kepada kamu.’

15 Beritahulah umat Israel, bahawa AKU, TUHAN, Allah nenek moyang mereka, Allah Abraham, Ishak, dan Yakub, telah mengutus engkau kepada mereka. Itulah nama-Ku untuk selama-lamanya; itulah nama panggilan-Ku yang harus digunakan oleh semua keturunan yang akan datang.

16 Pergilah dan himpunkanlah para pemimpin Israel dan beritahulah mereka bahawa Aku, TUHAN, Allah nenek moyang mereka, Allah Abraham, Ishak, dan Yakub, telah menampakkan diri kepadamu. Beritahulah mereka bahawa Aku telah datang kepada mereka dan telah melihat apa yang dilakukan orang Mesir terhadap mereka.

17 Aku telah mengambil keputusan untuk membawa mereka keluar dari Mesir, tempat mereka ditindas, dan membawa mereka ke suatu tanah yang kaya dan subur, iaitu negeri orang Kanaan, Het, Amori, Feris, Hewi, dan Yebusi.

18 Umat-Ku akan mendengarkan segala katamu. Kemudian engkau mesti menghadap raja Mesir bersama dengan para pemimpin Israel dan berkata kepadanya, ‘TUHAN, Allah orang Ibrani, telah menampakkan diri kepada kami. Sekarang benarkanlah kami pergi sejauh tiga hari perjalanan ke padang gurun untuk mempersembahkan korban kepada TUHAN, Allah kami.’ ”

19 Allah berfirman lagi, “Aku tahu bahawa raja Mesir tidak akan membenarkan kamu pergi, kecuali dia dipaksa berbuat demikian.

20 Tetapi Aku akan menggunakan kuasa-Ku dan menghukum Mesir dengan melakukan hal-hal yang menakutkan di sana. Selepas itu, dia akan membenarkan kamu pergi.