19 Apabila Musa menghampiri perkhemahan lalu melihat patung lembu daripada emas itu dan rakyat menari-nari, dia naik marah. Di situ, di kaki gunung, dia membanting batu-batu tulis yang dibawanya sehingga hancur berkeping-keping.
20 Musa mengambil patung lembu daripada emas yang dibuat mereka itu, lalu melebur dan menumbuknya sehingga menjadi serbuk halus, kemudian dia mencampurnya dengan air. Selepas itu Musa menyuruh orang Israel minum air itu.
21 Musa berkata kepada Harun, “Apakah yang telah dilakukan umat ini kepadamu sehingga engkau membiarkan mereka berdosa besar?”
22 Harun menjawab, “Janganlah marah kepadaku. Engkau tahu betapa nekadnya umat ini untuk melakukan kejahatan.
23 Mereka berkata kepadaku, ‘Kami tidak tahu apa telah berlaku kepada si Musa, yang memimpin kami keluar dari Mesir. Oleh itu, buatlah satu tuhan bagi kami untuk memimpin kami.’
24 Aku menyuruh mereka memberikan perhiasan emas kepadaku, lalu orang yang mempunyai perhiasan menanggalkannya dan memberikannya kepadaku. Aku mencampakkan perhiasan emas itu ke dalam api, lalu terbentuklah lembu ini.”
25 Musa sedar bahawa Harun telah membiarkan orang Israel dalam keadaan yang tidak terkawal lagi, sehingga mempermalukan diri mereka sendiri di hadapan musuh.