24 Aku menyuruh mereka memberikan perhiasan emas kepadaku, lalu orang yang mempunyai perhiasan menanggalkannya dan memberikannya kepadaku. Aku mencampakkan perhiasan emas itu ke dalam api, lalu terbentuklah lembu ini.”
25 Musa sedar bahawa Harun telah membiarkan orang Israel dalam keadaan yang tidak terkawal lagi, sehingga mempermalukan diri mereka sendiri di hadapan musuh.
26 Oleh itu Musa berdiri di pintu gerbang perkhemahan dan berseru, “Tiap-tiap orang yang memihak kepada TUHAN harus datang ke mari!” Oleh itu segenap suku Lewi berhimpun mengelilingi Musa.
27 Kemudian Musa berkata kepada mereka, “TUHAN, Allah Israel memerintahkan setiap orang menghunus pedang, dan pergi dari pintu perkhemahan ini ke pintu di sebelah sana, lalu membunuh saudara-saudara, kawan-kawan, dan jiran-jirannya.”
28 Suku Lewi taat, lalu membunuh kira-kira tiga ribu orang pada hari itu.
29 Musa berkata kepada suku Lewi, “Pada hari ini kamu telah mentahbiskan diri sebagai imam yang mengabdi kepada TUHAN, dengan membunuh anak lelaki kamu dan saudara-saudara kamu; maka TUHAN memberikan berkat-Nya kepada kamu.”
30 Keesokan harinya, Musa berkata kepada orang Israel, “Kamu telah berdosa besar. Tetapi aku akan naik ke gunung itu lagi untuk menghadap TUHAN; mudah-mudahan aku boleh mendapatkan pengampunan bagi dosa kamu.”