6 Awal pagi esoknya mereka membawa beberapa ekor binatang untuk dipersembahkan sebagai korban, dan beberapa ekor lagi bagi korban untuk memohon berkat kepada TUHAN. Mereka duduk untuk makan dan minum, lalu bangkit untuk berpesta liar.
7 TUHAN berfirman kepada Musa, “Cepatlah turun kerana umatmu yang engkau pimpin keluar dari Mesir telah berdosa dan menolak Aku.
8 Mereka telah menyimpang daripada perintah-Ku. Mereka telah membuat sebuah patung lembu daripada emas leburan, lalu menyembahnya; mereka juga mempersembahkan korban kepadanya. Mereka berkata bahawa itulah tuhan mereka yang telah memimpin mereka keluar dari Mesir.
9 Aku tahu betapa degilnya umat itu.
10 Sekarang, janganlah halang Aku. Aku murka terhadap mereka dan hendak membinasakan mereka. Tetapi Aku akan menjadikan engkau dan keturunanmu satu bangsa yang besar.”
11 Tetapi Musa merayu kepada TUHAN, Allahnya dan berkata, “Ya TUHAN, mengapakah Engkau begitu murka terhadap umat-Mu yang telah Engkau bebaskan dari Mesir, dengan kuasa dan kekuatan yang besar?
12 Jika Engkau membinasakan mereka, orang Mesir akan berkata bahawa Engkau membawa mereka keluar dari Mesir justeru untuk membunuh mereka di pergunungan dan membinasakan mereka sama sekali. Janganlah murka lagi, ubahlah niat-Mu dan janganlah timpakan bencana ini kepada umat-Mu.