8 Mereka telah menyimpang daripada perintah-Ku. Mereka telah membuat sebuah patung lembu daripada emas leburan, lalu menyembahnya; mereka juga mempersembahkan korban kepadanya. Mereka berkata bahawa itulah tuhan mereka yang telah memimpin mereka keluar dari Mesir.
9 Aku tahu betapa degilnya umat itu.
10 Sekarang, janganlah halang Aku. Aku murka terhadap mereka dan hendak membinasakan mereka. Tetapi Aku akan menjadikan engkau dan keturunanmu satu bangsa yang besar.”
11 Tetapi Musa merayu kepada TUHAN, Allahnya dan berkata, “Ya TUHAN, mengapakah Engkau begitu murka terhadap umat-Mu yang telah Engkau bebaskan dari Mesir, dengan kuasa dan kekuatan yang besar?
12 Jika Engkau membinasakan mereka, orang Mesir akan berkata bahawa Engkau membawa mereka keluar dari Mesir justeru untuk membunuh mereka di pergunungan dan membinasakan mereka sama sekali. Janganlah murka lagi, ubahlah niat-Mu dan janganlah timpakan bencana ini kepada umat-Mu.
13 Ingatlah akan hamba-Mu Abraham, Ishak, dan Yakub. Ingatlah akan janji-Mu kepada mereka untuk mengurniai mereka keturunan sebanyak bintang di langit, dan memberi mereka seluruh tanah ini untuk menjadi milik mereka selama-lamanya.”
14 Oleh itu TUHAN mengubah niat-Nya dan tidak melaksanakan ancaman-Nya untuk menimpakan bencana kepada umat-Nya.