1 TUHAN berfirman kepada Musa, “Tinggalkanlah tempat ini bersama dengan umat yang engkau bawa keluar dari Mesir, dan pergilah ke tanah yang telah Aku janjikan kepada Abraham, Ishak, Yakub, dan keturunan mereka.
2 Aku akan menghantar satu malaikat untuk memimpin kamu. Aku akan mengusir orang Kanaan, Amori, Het, Feris, Hewi, dan Yebusi.
3 Kamu akan pergi ke tanah yang kaya dan subur. Tetapi Aku sendiri tidak akan pergi bersama-sama kamu, supaya kamu tidak Aku binasakan di tengah perjalanan, kerana kamu umat yang degil.”
4 Selepas umat mendengar firman itu, mereka mula berkabung dan tidak lagi memakai barang kemas,
5 kerana TUHAN telah menyuruh Musa menyampaikan firman-Nya kepada umat Israel, “Kamu umat yang degil. Jika Aku ikut bersama-sama kamu walau seketika pun, tentu kamu akan Kubinasakan sama sekali. Sekarang, tanggalkanlah barang kemas kamu; kemudian Aku akan menentukan apa yang Aku lakukan kepada kamu.”
6 Oleh sebab itu, selepas orang Israel meninggalkan Gunung Sinai, mereka tidak lagi memakai barang kemas.