7 Aku menepati janji-Ku kepada beribu-ribu keturunan, serta mengampunkan kejahatan dan dosa, tetapi Aku tidak akan membebaskan orang yang bersalah daripada hukuman. Aku juga akan menghukum anak-anak dan cucu-cicit mereka, sampai kepada generasi yang ketiga dan yang keempat, kerana dosa ibu bapa mereka.”
8 Dengan segera Musa bersujud menyembah.
9 Dia berkata, “Ya Tuhan, jika Engkau benar-benar berkenan kepadaku, aku mohon Engkau ikut dengan kami. Umat ini degil, tetapi ampunkanlah kejahatan serta dosa kami, dan terimalah kami sebagai umat-Mu sendiri.”
10 TUHAN berfirman kepada Musa, “Sekarang Aku membuat suatu perjanjian dengan umat Israel. Di depan mata mereka, Aku akan melakukan perkara-perkara besar, yang belum pernah dilakukan antara bangsa-bangsa di seluruh bumi. Semua bangsa akan melihat apa yang dapat Aku, TUHAN lakukan, kerana Aku akan melakukan perkara yang hebat untuk kamu.
11 Taatilah hukum yang Aku berikan kepadamu hari ini. Aku akan mengusir orang Amori, Kanaan, Het, Feris, Hewi, dan Yebusi apabila kamu pergi ke sana.
12 Jangan buat perjanjian dengan orang di negeri yang akan kamu duduki, kerana hal itu akan menjadi perangkap yang mengakibatkan kebinasaan kamu.
13 Robohkanlah mazbah-mazbah mereka; hancurkanlah tugu-tugu keramat mereka, dan tebanglah lambang-lambang Asyera, berhala mereka.