13 Namun raja tetap berdegil dan tidak mahu mendengar kata-kata Musa dan Harun, seperti yang sudah difirmankan TUHAN.
14 Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Raja sangat degil; dia tidak mahu membenarkan orang Israel pergi.
15 Oleh itu pergilah menghadap raja pada waktu pagi, ketika dia turun ke Sungai Nil. Bawalah tongkat yang pernah berubah menjadi ular, dan tunggulah dia di tebing sungai.
16 Katakan kepada raja, ‘TUHAN, Allah orang Ibrani, mengutus hamba untuk menyampaikan firman-Nya kepada tuanku supaya membenarkan umat-Nya pergi untuk beribadat kepada-Nya di padang gurun. Tetapi sampai sekarang, tuanku masih tidak mahu mendengarkan firman itu.
17 Maka TUHAN berfirman bahawa tuanku akan tahu siapa TUHAN itu daripada apa yang akan dilakukan-Nya. Lihatlah, hamba akan memukul air sungai dengan tongkat ini, lalu airnya akan berubah menjadi darah.
18 Ikan akan mati, dan sungai ini akan menjadi begitu busuk sehingga orang Mesir tidak dapat meminum airnya.’ ”
19 TUHAN berfirman kepada Musa, “Suruhlah Harun mengambil tongkatnya dan menghulurkannya ke atas segala sungai, saluran air, dan kolam di Mesir. Air akan berubah menjadi darah, dan di seluruh negeri akan terdapat darah, bahkan di dalam tong kayu dan tempayan batu.”