19 TUHAN berfirman kepada Musa, “Suruhlah Harun mengambil tongkatnya dan menghulurkannya ke atas segala sungai, saluran air, dan kolam di Mesir. Air akan berubah menjadi darah, dan di seluruh negeri akan terdapat darah, bahkan di dalam tong kayu dan tempayan batu.”
20 Kemudian Musa dan Harun melakukan hal seperti yang diperintahkan TUHAN. Di hadapan raja dan para pegawainya, Harun mengangkat tongkatnya dan memukul air Sungai Nil. Maka air sungai itu berubah menjadi darah.
21 Ikan-ikan di dalam sungai itu mati, dan baunya begitu busuk sehingga orang Mesir tidak dapat meminum air sungai itu. Darah terdapat di seluruh negeri Mesir.
22 Kemudian tukang-tukang sihir negeri Mesir juga melakukan perkara seperti itu dengan ilmu sihir mereka, sehingga raja tetap berdegil. Seperti yang telah difirmankan TUHAN, raja tidak mahu mendengarkan kata-kata Musa dan Harun.
23 Sebaliknya, raja pulang ke istananya tanpa menghiraukan perkara yang berlaku itu sedikit pun.
24 Semua orang Mesir menggali lubang di sepanjang tebing sungai untuk mendapatkan air minum, kerana mereka tidak dapat meminum air sungai itu.
25 Tujuh hari telah berlalu sejak TUHAN mengubah air sungai itu menjadi darah.