5 Kemudian orang Mesir akan tahu bahawa Akulah TUHAN apabila Aku menghukum mereka dan membawa orang Israel keluar dari negeri Mesir.”
6 Musa dan Harun melakukan apa yang diperintahkan oleh TUHAN.
7 Musa berumur 80 tahun dan Harun 83 tahun ketika mereka menghadap raja Mesir.
8 TUHAN berfirman kepada Musa dan Harun,
9 “Jika raja minta kamu melakukan keajaiban sebagai bukti, suruhlah Harun mengambil tongkatnya dan mencampakkan tongkat itu di hadapan raja. Tongkat itu akan berubah menjadi ular.”
10 Oleh itu Musa dan Harun pergi menghadap raja dan melakukan hal seperti yang diperintahkan TUHAN. Harun mencampakkan tongkatnya di hadapan raja dan para pegawainya, lalu tongkat itu berubah menjadi ular.
11 Selepas itu raja memanggil orang yang berilmu dan para tukang sihir, lalu dengan ilmu sihir, mereka melakukan perkara yang sama.