9 “Jika raja minta kamu melakukan keajaiban sebagai bukti, suruhlah Harun mengambil tongkatnya dan mencampakkan tongkat itu di hadapan raja. Tongkat itu akan berubah menjadi ular.”
10 Oleh itu Musa dan Harun pergi menghadap raja dan melakukan hal seperti yang diperintahkan TUHAN. Harun mencampakkan tongkatnya di hadapan raja dan para pegawainya, lalu tongkat itu berubah menjadi ular.
11 Selepas itu raja memanggil orang yang berilmu dan para tukang sihir, lalu dengan ilmu sihir, mereka melakukan perkara yang sama.
12 Mereka mencampakkan tongkat-tongkat mereka, lalu tongkat-tongkat itu berubah menjadi ular. Tetapi tongkat Harun menelan tongkat-tongkat mereka.
13 Namun raja tetap berdegil dan tidak mahu mendengar kata-kata Musa dan Harun, seperti yang sudah difirmankan TUHAN.
14 Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Raja sangat degil; dia tidak mahu membenarkan orang Israel pergi.
15 Oleh itu pergilah menghadap raja pada waktu pagi, ketika dia turun ke Sungai Nil. Bawalah tongkat yang pernah berubah menjadi ular, dan tunggulah dia di tebing sungai.