19 Tukang-tukang sihir itu berkata kepada raja, “Allah telah melakukan hal ini!” Tetapi raja masih berdegil dan tidak mahu mendengarkan kata-kata Musa dan Harun, sebagaimana yang telah difirmankan TUHAN.
20 TUHAN berfirman kepada Musa, “Pergilah menghadap raja awal pagi esok, ketika dia pergi ke sungai. Beritahulah dia bahawa TUHAN berfirman, ‘Benarkanlah umat-Ku pergi beribadat kepada-Ku.
21 Jika engkau menolak, Aku akan mendatangkan lalat kepadamu, para pegawaimu, dan rakyatmu. Rumah-rumah orang Mesir, bahkan seluruh negeri akan diliputi lalat.
22 Tetapi Aku akan membuat kekecualian bagi kawasan Gosyen, tempat umat-Ku tinggal. Lalat tidak akan terdapat di sana. Aku melakukan hal ini supaya engkau tahu bahawa Aku, TUHAN, berkuasa di negeri ini.
23 Aku akan membuat perbezaan antara umat-Ku dan rakyatmu. Mukjizat ini akan berlaku pada hari esok.’ ”
24 TUHAN mendatangkan lalat yang banyak sekali ke istana raja dan ke rumah para pegawainya. Seluruh negeri Mesir sangat menderita kerana lalat-lalat itu.
25 Kemudian raja memanggil Musa dan Harun lalu bertitah, “Pergilah persembahkan korban kepada Allah kamu di negeri ini.”