24 TUHAN mendatangkan lalat yang banyak sekali ke istana raja dan ke rumah para pegawainya. Seluruh negeri Mesir sangat menderita kerana lalat-lalat itu.
25 Kemudian raja memanggil Musa dan Harun lalu bertitah, “Pergilah persembahkan korban kepada Allah kamu di negeri ini.”
26 Tetapi Musa menjawab, “Hamba sekalian tidak boleh berbuat begitu, kerana orang Mesir akan tersinggung apabila melihat hamba semua mempersembahkan binatang sebagai korban kepada TUHAN, Allah hamba semua. Jika hamba sekalian menggunakan binatang yang menyinggung perasaan mereka, hamba semua akan direjam sampai mati oleh mereka.
27 Hamba sekalian mesti pergi ke padang gurun sejauh tiga hari perjalanan untuk mempersembahkan korban kepada TUHAN, Allah hamba semua, sebagaimana yang telah diperintahkan-Nya.”
28 Raja bertitah, “Beta akan membenarkan kamu pergi ke padang gurun untuk mempersembahkan korban kepada TUHAN, Allah kamu, asal kamu tidak pergi terlalu jauh. Berdoalah untuk beta.”
29 Musa menjawab, “Sebaik saja hamba pergi, hamba akan berdoa kepada TUHAN agar esok lalat-lalat itu meninggalkan tuanku, para pegawai, dan rakyat tuanku. Tetapi janganlah tipu hamba sekalian lagi, dan jangan halang orang Israel pergi untuk mempersembahkan korban kepada TUHAN.”
30 Musa meninggalkan raja lalu berdoa kepada TUHAN.