12 Tetapi TUHAN menyebabkan raja berdegil, dan sebagaimana yang telah difirmankan TUHAN, raja tidak mahu mendengarkan kata-kata Musa dan Harun.
13 Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Pergilah menghadap raja awal pagi esok, dan beritahulah dia bahawa TUHAN, Allah orang Ibrani berfirman, ‘Benarkanlah umat-Ku pergi supaya mereka dapat beribadat kepada-Ku.
14 Kali ini Aku akan menghukum bukan hanya para pegawai dan rakyatmu, tetapi engkau juga, agar engkau tahu bahawa tiada sesiapa pun yang seperti Aku di seluruh dunia.
15 Jika Aku telah menghukum engkau dan rakyatmu dengan penyakit, tentu kamu sudah binasa sama sekali.
16 Tetapi Aku membiarkan engkau hidup untuk menunjukkan kuasa-Ku kepadamu, supaya nama-Ku termasyhur di seluruh dunia.
17 Namun engkau masih angkuh dan tidak mahu membenarkan umat-Ku pergi.
18 Kira-kira waktu ini esok, Aku akan menurunkan hujan batu yang lebat, yang belum pernah berlaku sepanjang sejarah negeri Mesir.