7 Raja menanyakan apa yang telah berlaku, lalu raja diberitahu bahawa ternakan orang Israel tidak seekor pun yang mati. Namun, raja masih berdegil dan tidak mahu membenarkan orang Israel pergi.
8 Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa dan Harun, “Ambillah beberapa genggam abu dari relau. Musa harus menghamburkan abu itu ke udara di hadapan raja.
9 Abu itu akan tersebar seperti debu halus ke seluruh tanah Mesir. Abu itu akan menimbulkan bisul yang pecah menjadi luka bernanah pada manusia dan binatang.”
10 Oleh itu Musa dan Harun mengambil abu dari relau dan berdiri di hadapan raja. Musa menghamburkan abu itu ke udara, lalu abu itu menimbulkan bisul yang pecah menjadi luka bernanah pada manusia dan binatang.
11 Tukang-tukang sihir tidak dapat bertemu dengan Musa kerana mereka diliputi bisul seperti orang Mesir yang lain.
12 Tetapi TUHAN menyebabkan raja berdegil, dan sebagaimana yang telah difirmankan TUHAN, raja tidak mahu mendengarkan kata-kata Musa dan Harun.
13 Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Pergilah menghadap raja awal pagi esok, dan beritahulah dia bahawa TUHAN, Allah orang Ibrani berfirman, ‘Benarkanlah umat-Ku pergi supaya mereka dapat beribadat kepada-Ku.