12 Kemudian seluruh rakyat Israel mulai lagi membawa persembahan persepuluhan biji-bijian, wain, dan minyak zaitun ke Rumah TUHAN.
13 Aku menugaskan semua orang yang berikut untuk menjaga stor-stor bekalan itu: Selemya, seorang imam; Zadok, seorang ahli Taurat; Pedaya, seorang Lewi. Hanan anak Zakur, cucu Matanya ialah pembantu mereka. Aku yakin bahawa mereka boleh dipercayai untuk membahagikan bahan-bahan itu kepada sesama pekerja dengan jujur.
14 Ya Allah, ingatlah akan segala yang sudah aku lakukan untuk Rumah TUHAN dan ibadat di situ.
15 Pada masa itu aku nampak penduduk Yehuda memeras buah anggur pada hari Sabat. Sebilangan orang lain memuat biji-bijian, wain, buah anggur, buah ara, dan barang-barang lain ke atas keldai mereka, lalu membawanya ke Yerusalem. Aku memberikan amaran kepada mereka supaya tidak menjual apa-apa pada hari Sabat.
16 Beberapa orang dari kota Tirus yang tinggal di Yerusalem membawa ikan dan pelbagai jenis barang ke Yerusalem, lalu mereka menjualnya kepada orang Yahudi pada hari Sabat.
17 Aku menegur para pemimpin orang Yahudi. Aku berkata, “Lihatlah perbuatan kamu yang jahat itu! Kamu mencemarkan hari Sabat.
18 Justeru kerana itulah Allah menghukum nenek moyang kita dahulu dan memusnahkan kota ini. Sekarang kamu menyebabkan Allah lebih murka lagi terhadap Israel dengan mencemarkan hari Sabat!”