Nehemia 5:10-16 BM

10 Aku sendiri sudah meminjamkan wang dan gandum kepada rakyat; demikian juga yang dilakukan oleh teman-temanku dan orang yang bekerja untuk aku. Sekarang, marilah kita batalkan tuntutan pembayaran balik pinjaman itu.

11 Hapuskanlah semua hutang mereka - wang, atau gandum, atau wain, ataupun minyak zaitun. Kembalikanlah ladang, kebun anggur, kebun zaitun, dan rumah mereka dengan segera!”

12 Pemimpin-pemimpin itu menjawab, “Baiklah, kami akan melakukan seperti yang tuan katakan. Kami akan memulangkan semuanya tanpa menuntut pembayaran daripada mereka.”Kemudian aku memanggil para imam, lalu menyuruh para pemimpin itu bersumpah di hadapan mereka, supaya janji yang diucapkan para pemimpin itu betul-betul dilaksanakan.

13 Setelah itu aku menanggalkan ikat pinggangku dan mengebaskannya di hadapan mereka, dan berkata, “Beginilah caranya Allah akan mengebaskan setiap orang di kalangan kamu yang tidak menepati janjinya. Allah akan mengambil rumah orang itu dan segala miliknya, sehingga orang itu tidak lagi mempunyai apa-apa.”Semua orang yang hadir di situ berkata, “Amin!” lalu memuji TUHAN. Para pemimpin itu pun menepati janji mereka.

14 Aku sudah menjadi gabenor negeri Yehuda selama dua belas tahun, iaitu dari tahun kedua puluh pemerintahan Raja Artahsasta sehingga tahun ketiga puluh dua pemerintahannya. Selama itu, aku dan sanak keluargaku tidak pernah makan makanan yang dikhaskan untuk aku sebagai gabenor.

15 Setiap orang yang menjadi gabenor sebelum aku telah menjadi beban kepada rakyat kerana gabenor itu menuntut 40 wang perak sehari bagi makanan dan wain. Bahkan pegawai-pegawai mereka pun menindas rakyat, tetapi aku tidak berbuat demikian kerana aku takut dan hormat akan Allah.

16 Aku mencurahkan seluruh tenagaku bagi pembinaan semula tembok itu, dan aku tidak mengambil tanah sedikit pun. Setiap orang yang bekerja bagiku, ikut bekerja dalam pembinaan itu.