Nehemia 5:13-19 BM

13 Setelah itu aku menanggalkan ikat pinggangku dan mengebaskannya di hadapan mereka, dan berkata, “Beginilah caranya Allah akan mengebaskan setiap orang di kalangan kamu yang tidak menepati janjinya. Allah akan mengambil rumah orang itu dan segala miliknya, sehingga orang itu tidak lagi mempunyai apa-apa.”Semua orang yang hadir di situ berkata, “Amin!” lalu memuji TUHAN. Para pemimpin itu pun menepati janji mereka.

14 Aku sudah menjadi gabenor negeri Yehuda selama dua belas tahun, iaitu dari tahun kedua puluh pemerintahan Raja Artahsasta sehingga tahun ketiga puluh dua pemerintahannya. Selama itu, aku dan sanak keluargaku tidak pernah makan makanan yang dikhaskan untuk aku sebagai gabenor.

15 Setiap orang yang menjadi gabenor sebelum aku telah menjadi beban kepada rakyat kerana gabenor itu menuntut 40 wang perak sehari bagi makanan dan wain. Bahkan pegawai-pegawai mereka pun menindas rakyat, tetapi aku tidak berbuat demikian kerana aku takut dan hormat akan Allah.

16 Aku mencurahkan seluruh tenagaku bagi pembinaan semula tembok itu, dan aku tidak mengambil tanah sedikit pun. Setiap orang yang bekerja bagiku, ikut bekerja dalam pembinaan itu.

17 Aku biasa menjamu seratus lima puluh orang Yahudi dan para pemimpin mereka di rumahku, selain daripada tetamu dari negeri-negeri jiran.

18 Setiap hari dengan biayaku sendiri, seekor lembu, enam ekor domba yang terbaik, dan banyak sekali ayam disembelih. Di samping itu, tiap-tiap sepuluh hari aku menyediakan wain baru. Meskipun begitu, aku tidak mengambil elaun gabenor kerana aku tahu bahawa tanggungan rakyat sudah cukup berat.

19 Aku memohon kepada-Mu, ya Allah, ingatlah akan semua kebajikan yang sudah aku lakukan bagi bangsa ini, dan berkatilah aku.