Nehemia 5:5-11 BM

5 Kita semua bangsa Yahudi. Bukankah anak-anak kami pun sama baiknya dengan anak-anak Yahudi yang lain? Tetapi kami terpaksa membiarkan anak-anak kami menjadi hamba. Bahkan ada beberapa orang anak gadis kami yang sudah dijual menjadi hamba. Kami tidak dapat berbuat apa-apa kerana ladang dan kebun anggur kami sudah menjadi milik orang lain.”

6 Apabila aku mendengar sungutan mereka itu, aku naik marah

7 dan segera bertindak. Aku menyalahkan para pemimpin dan pegawai. Aku berkata kepada mereka, “Kamu menindas saudara-saudara kamu sendiri!”Kemudian aku mengadakan suatu perjumpaan rakyat untuk menyelesaikan masalah itu,

8 dan aku berkata, “Dengan seberapa daya, kami telah menebus orang Yahudi yang terpaksa menjual diri mereka kepada orang bangsa asing. Tetapi kini kamu pula yang memaksa mereka menjual diri kepada kamu, padahal kamu juga orang Yahudi!” Para pemimpin itu diam sahaja, dan tidak dapat menjawab apa-apa pun.

9 Kemudian aku berkata lagi, “Perbuatan kamu itu salah! Kamu seharusnya takut dan hormat akan Allah dan melakukan hal yang baik. Dengan demikian, musuh kita yang tidak percaya kepada Allah itu, tidak akan mendapat alasan untuk menghina kita.

10 Aku sendiri sudah meminjamkan wang dan gandum kepada rakyat; demikian juga yang dilakukan oleh teman-temanku dan orang yang bekerja untuk aku. Sekarang, marilah kita batalkan tuntutan pembayaran balik pinjaman itu.

11 Hapuskanlah semua hutang mereka - wang, atau gandum, atau wain, ataupun minyak zaitun. Kembalikanlah ladang, kebun anggur, kebun zaitun, dan rumah mereka dengan segera!”