Nehemia 8:12-18 BM

12 Kemudian semua orang itu pulang. Mereka makan dan minum sambil bersukacita, serta membahagikan makanan kepada orang lain, kerana mereka faham akan makna pembacaan yang didengar mereka itu.

13 Keesokan harinya, para pemimpin puak, para imam dan orang Lewi pergi kepada Ezra untuk mempelajari ajaran Taurat.

14 Mereka mendapati bahawa dalam Taurat yang diberikan TUHAN dengan perantaraan Musa, TUHAN menyuruh umat Israel tinggal di dalam pondok-pondok sementara, apabila mereka merayakan Perayaan Pondok Daun.

15 Oleh itu, mereka mengumumkan perintah berikut di seluruh Yerusalem, di kota-kota lain, dan di pekan-pekan, “Pergilah ke bukit-bukit dan ambillah dahan-dahan pokok pain, pokok zaitun, pokok kemunting, pokok kurma dan pokok-pokok lain, lalu buatlah pondok menurut peraturan yang tertulis di dalam Taurat.”

16 Kemudian rakyat pun pergi mengambil dahan-dahan dan membina pondok-pondok di atas bumbung rata rumah mereka, di halaman rumah, di halaman Rumah TUHAN, dan di padang dekat Pintu Gerbang Air, dan di padang dekat Pintu Gerbang Efraim.

17 Semua orang yang sudah kembali dari pembuangan membuat pondok dan tinggal di situ. Inilah kali pertama hal itu dilakukan sejak zaman Yosua anak Nun. Mereka semua gembira dan bahagia.

18 Tiap-tiap hari, dari hari pertama perayaan itu sehingga hari terakhir, Ezra membaca sebahagian daripada Taurat Allah kepada mereka. Mereka merayakan perayaan itu selama tujuh hari, dan pada hari kelapan mereka mengadakan upacara penutup menurut peraturan Taurat.