1-2 Pada zaman sebelum umat Israel mempunyai raja, kebuluran berlaku di tanah Kanaan. Pada waktu itu ada seorang lelaki bernama Elimelekh. Dia daripada puak Efrata, dan tinggal di Betlehem di wilayah Yehuda. Oleh sebab kebuluran itu, dia pergi ke negeri Moab bersama dengan isterinya Naomi, serta dua orang anak lelakinya, Mahlon dan Kilyon. Mereka tinggal di Moab untuk sementara waktu. Semasa mereka di sana,
3 Elimelekh meninggal, maka tinggal Naomi bersama dengan dua orang anak lelakinya.
4 Anak-anak lelakinya itu berkahwin dengan perempuan Moab, yang bernama Orpa dan Rut. Setelah mereka tinggal di Moab selama sepuluh tahun,
5 Mahlon dan Kilyon pula meninggal, maka tinggal Naomi seorang diri. Dia kehilangan suaminya dan kedua-dua orang anaknya.
6 Kemudian Naomi mendengar bahawa TUHAN telah memberkati umat-Nya dengan memberikan hasil tanaman yang baik kepada mereka. Oleh itu Naomi bersiap-siap untuk meninggalkan Moab bersama dengan kedua-dua orang menantunya.
7 Mereka berangkat bersama-sama untuk balik ke Yehuda. Tetapi dalam perjalanan,
8 Naomi berkata kepada kedua-dua orang menantunya, “Pulanglah ke rumah ibu kamu. Semoga TUHAN berbuat baik terhadap kamu seperti kamu telah berbuat baik terhadap aku dan terhadap mereka yang telah meninggal.
9 Semoga TUHAN berkenan memberikan jodoh kepada kamu supaya kamu berumahtangga lagi.”Setelah mengatakan demikian, Naomi mencium mereka sambil mengucapkan selamat tinggal. Tetapi Orpa dan Rut menangis tersedu-sedu.
10 Mereka berkata kepada Naomi, “Tidak! Kami akan ikut mak balik ke bangsa mak.”
11 Tetapi Naomi menjawab, “Lebih baik kamu pulang, anakku. Mengapa kamu hendak ikut aku? Aku tidak dapat melahirkan anak lagi untuk dikahwinkan dengan kamu!
12 Pulanglah. Aku sudah terlalu tua untuk berkahwin lagi. Sekiranya aku masih ada harapan untuk berkahwin lagi pada malam ini juga dan mendapat anak lelaki,
13 sanggupkah kamu menunggu sehingga mereka besar? Patutkah hal itu menghalangi kamu berkahwin dengan orang lain? Janganlah begitu, anakku. Aku sedih dengan apa yang terpaksa kamu alami kerana hukuman TUHAN terhadap aku.”
14 Rut dan Orpa menangis lagi dengan tersedu-sedu. Kemudian Orpa mencium ibu mentuanya dan mengucapkan selamat tinggal, lalu pulang. Tetapi Rut tidak mahu meninggalkan ibu mentuanya.
15 Naomi berkata kepadanya, “Lihatlah Rut, birasmu sudah pulang kepada bangsanya dan dewa-dewanya. Pergilah, anakku. Pulanglah seperti birasmu.”
16 Tetapi Rut menjawab, “Janganlah suruh saya pulang. Benarkanlah saya mengikut mak. Ke mana saja mak pergi, saya akan ikut bersama. Di mana saja mak tinggal, di situ juga saya hendak tinggal. Bangsa mak, bangsa saya juga, dan Allah yang disembah mak, akan saya sembah juga.
17 Di mana saja mak meninggal, di situlah saya hendak meninggal dan dikebumikan. Biarlah TUHAN menghukum saya dengan seberat-beratnya jika saya membiarkan apa-apa pun memisahkan kita kecuali kematian.”
18 Apabila Naomi melihat bahawa Rut berkeras hendak mengikut dia, Naomi tidak mengatakan apa-apa lagi.
19 Mereka meneruskan perjalanan sehingga mereka sampai di Betlehem. Apabila mereka tiba, segenap penduduk kota itu heboh. Kaum perempuan di situ berkata, “Betulkah dia itu Naomi?”
20 Naomi menjawab, “Janganlah panggil saya Naomi. Panggillah saya Mara, kerana Allah Yang Maha Kuasa telah menjadikan kehidupan saya pahit.
21 Dahulu ketika saya meninggalkan tempat ini saya berkecukupan, tetapi sekarang TUHAN membawa saya balik dengan tidak mempunyai apa-apa. Oleh itu, janganlah panggil saya Naomi lagi, kerana TUHAN Yang Maha Kuasa telah menghukum saya dengan banyak penderitaan.”
22 Demikianlah kisahnya Naomi pulang dari Moab bersama dengan Rut menantunya, orang Moab itu. Mereka tiba di Betlehem pada permulaan musim menuai barli.