1 Kemudian Naomi berkata kepada Rut, “Aku harus mendapatkan suami untukmu, supaya engkau mempunyai rumah tangga sendiri dan hidup bahagia.
2 Ketahuilah, pemilik ladang tempat engkau bekerja dengan para pekerja wanita itu saudara dekat kita. Oleh itu, dengarlah! Senja ini dia akan mengirik barli.
3 Mandilah sekarang dan gunalah minyak wangi dan pakailah bajumu yang tercantik. Kemudian pergilah ke tempat dia mengirik barli, tetapi jangan tunjukkan dirimu sehingga dia selesai makan dan minum.
4 Perhatikanlah tempat dia berbaring. Setelah dia lena, bukalah selimutnya dan baringlah dekat kakinya. Kemudian dia akan memberitahu engkau apa yang harus engkau lakukan.”
5 Rut menjawab, “Saya akan menurut segala kata mak.”
6 Kemudian Rut pergi ke tempat mengirik barli dan melakukan seperti yang disuruh oleh ibu mentuanya.
7 Setelah Boas makan dan minum, dia berasa gembira. Dia pergi ke tempat timbunan barli, lalu baring dan tidur. Kemudian Rut mendekatinya dengan diam-diam. Dia membuka selimut Boas lalu tidur dekat kakinya.
8 Kira-kira pada tengah malam, Boas terjaga dan membalikkan badannya. Dia terkejut melihat seorang wanita tidur dekat kakinya.
9 “Siapakah kamu?” tanya Boas.“Saya Rut, tuan,” jawabnya. “Sudilah tuan mengembangkan jubah untuk melindungi saya; sudilah menjadikan saya isteri tuan. Oleh sebab tuan saudara dekat kami, tuanlah yang bertanggungjawab terhadap hidup saya.”
10 “TUHAN memberkati kamu,” kata Boas. “Dengan perbuatanmu ini, kamu menunjukkan kesetiaan yang lebih besar daripada apa yang telah kamu lakukan terhadap ibu mentuamu. Sebenarnya, kamu boleh mencari seorang pemuda, baik yang kaya ataupun yang miskin, tetapi kamu tidak berbuat demikian.
11 Janganlah khuatir, Rut. Saya akan memenuhi segala permintaanmu. Semua orang di kota tahu bahawa kamu wanita yang baik budi pekerti.
12 Memang benar saya ini saudara dekatmu dan bertanggungjawab terhadap hidupmu, tetapi ada lagi seorang saudaramu yang lebih dekat daripada saya.
13 Tetapi tinggallah di sini dahulu. Esok pagi, jika saudara itu mahu bertanggungjawab terhadap hidupmu, baiklah. Jika tidak, saya berjanji demi Allah yang hidup bahawa saya akan bertanggungjawab terhadap hidupmu. Sekarang tidurlah hingga pagi.”
14 Rut tidur dekat kaki Boas, tetapi esok pagi, Rut bangun ketika hari masih gelap. Dia tidak mahu dilihat orang, kerana Boas tidak mahu orang tahu bahawa Rut berada di situ.
15 Boas berkata kepadanya, “Tanggalkanlah selendangmu dan bentangkanlah di sini.” Rut pun berbuat demikian. Lalu Boas menuang kira-kira dua puluh kilogram barli ke dalam selendang itu. Kemudian Boas mengangkatnya ke atas bahu Rut. Rut pulang sambil memikul barli itu.
16 Apabila Rut tiba di rumah, ibu mentuanya bertanya kepadanya, “Apa yang terjadi, nak?”Rut menceritakan segala yang telah dilakukan Boas baginya.
17 Rut berkata lagi, “Kata Boas, saya tidak boleh balik kepada mak dengan tangan kosong. Lalu dia memberikan semua barli ini kepada saya.”
18 Naomi berkata kepadanya, “Bersabarlah, Rut. Engkau akan menyaksikan kesudahan segala perkara ini. Boas tidak akan berdiam diri selagi dia tidak menyelesaikan perkara ini hari ini juga.”