16 Tetapi Rut menjawab, “Janganlah suruh saya pulang. Benarkanlah saya mengikut mak. Ke mana saja mak pergi, saya akan ikut bersama. Di mana saja mak tinggal, di situ juga saya hendak tinggal. Bangsa mak, bangsa saya juga, dan Allah yang disembah mak, akan saya sembah juga.
17 Di mana saja mak meninggal, di situlah saya hendak meninggal dan dikebumikan. Biarlah TUHAN menghukum saya dengan seberat-beratnya jika saya membiarkan apa-apa pun memisahkan kita kecuali kematian.”
18 Apabila Naomi melihat bahawa Rut berkeras hendak mengikut dia, Naomi tidak mengatakan apa-apa lagi.
19 Mereka meneruskan perjalanan sehingga mereka sampai di Betlehem. Apabila mereka tiba, segenap penduduk kota itu heboh. Kaum perempuan di situ berkata, “Betulkah dia itu Naomi?”
20 Naomi menjawab, “Janganlah panggil saya Naomi. Panggillah saya Mara, kerana Allah Yang Maha Kuasa telah menjadikan kehidupan saya pahit.
21 Dahulu ketika saya meninggalkan tempat ini saya berkecukupan, tetapi sekarang TUHAN membawa saya balik dengan tidak mempunyai apa-apa. Oleh itu, janganlah panggil saya Naomi lagi, kerana TUHAN Yang Maha Kuasa telah menghukum saya dengan banyak penderitaan.”
22 Demikianlah kisahnya Naomi pulang dari Moab bersama dengan Rut menantunya, orang Moab itu. Mereka tiba di Betlehem pada permulaan musim menuai barli.