19 Naomi bertanya kepadanya, “Di mana engkau mendapat semua ini? Di ladang siapa engkau bekerja? Semoga Allah memberkati orang yang berbuat baik kepadamu!”Rut menceritakan kepada Naomi bahawa dia telah bekerja di ladang seorang yang bernama Boas.
20 “Semoga TUHAN memberkati Boas!” kata Naomi kepada Rut. “TUHAN sentiasa menepati janji-Nya, baik kepada orang yang masih hidup mahupun kepada orang yang sudah meninggal.” Katanya lagi, “Orang itu saudara dekat kita. Dialah yang patut bertanggungjawab terhadap kita.”
21 Rut berkata, “Lagi pula, dia membenarkan saya memungut barli bersama-sama para pekerjanya sehingga mereka habis menuai seluruh ladang itu.”
22 Naomi berkata kepada Rut, “Memang, nak. Lebih baik engkau bekerja dengan para pekerja wanita di ladang Boas. Jika engkau bekerja di ladang orang lain, mungkin engkau akan diganggu oleh orang di sana.”
23 Maka Rut tetap mengikuti para pekerja wanita di ladang Boas. Rut memungut barli dan gandum di sana sehingga semuanya habis dituai. Selama itu Rut tinggal bersama dengan ibu mentuanya.