8 Kemudian Boas berkata kepada Rut, “Dengarlah nasihat saya. Janganlah pergi memungut barli di ladang lain, kecuali ladang ini. Bekerjalah dengan para pekerja wanita di sini.
9 Lihatlah ke mana mereka bekerja, dan ikutlah mereka. Dengan tegas saya melarang para pekerja lelaki daripada mengganggu kamu. Apabila kamu haus, minumlah air dari tempayan-tempayan yang telah diisikan oleh mereka.”
10 Rut bersujud dan berkata kepada Boas, “Mengapakah tuan mengambil berat terhadap saya dan begitu baik terhadap saya? Saya hanya seorang bangsa asing!”
11 Boas menjawab, “Saya telah mendengar segala sesuatu yang kamu lakukan bagi ibu mentuamu sejak suamimu meninggal. Saya tahu bahawa kamu telah meninggalkan ibu bapa dan negeri kamu untuk tinggal bersama dengan bangsa yang tidak kamu kenal.
12 Semoga TUHAN membalas segala kebaikanmu. Semoga kamu menerima apa yang patut diberikan kepadamu oleh TUHAN, Allah Israel, kerana kamu telah datang untuk berlindung kepada-Nya!”
13 Rut berkata, “Tuan sungguh baik hati. Tuan telah menyenangkan hati saya. Tuan telah bercakap lembut kepada saya, walaupun saya tidak setaraf dengan pekerja tuan.”
14 Pada waktu makan tengah hari, Boas berkata kepada Rut, “Marilah makan. Celupkanlah rotimu di dalam kuahnya.” Rut duduk bersama-sama para pekerja yang lain lalu Boas menghidangkan barli panggang kepadanya. Rut makan sehingga kenyang. Setelah makan, dia menyimpan lebihan makanannya.