Rut 4:7-13 BM

7 Pada zaman itu, untuk mengesahkan penjualan milik atau penukaran harta, telah menjadi kebiasaan bahawa si penjual menanggalkan kasutnya lalu memberikan kasut itu kepada si pembeli. Menurut hukum di Israel, dengan cara demikian, sahlah penjualan itu.

8 Oleh yang demikian, apabila saudara itu berkata kepada Boas, “Kamulah yang membeli tanah itu,” dia menanggalkan kasutnya lalu memberikannya kepada Boas.

9 Selepas itu Boas berkata kepada para pemimpin dan semua orang yang ada di situ, “Saudara-saudara menjadi saksi hari ini, bahawa daripada Naomi saya telah membeli segala yang dimiliki Elimelekh dan anak-anaknya, Kilyon dan Mahlon.

10 Di samping itu pula Rut, wanita Moab, balu Mahlon itu, menjadi isteri saya sekarang. Dengan cara ini, tanah orang yang sudah meninggal akan tetap menjadi milik keturunannya. Keturunannya pun akan tetap ada di kalangan sanak saudaranya dan tinggal di kotanya. Saudara-saudaralah yang menjadi saksi hal itu pada hari ini.”

11 Para pemimpin kota dan semua orang yang berada di situ berkata, “Baiklah, kamilah yang menjadi saksi. Semoga TUHAN membolehkan isterimu menjadi seperti Rahel dan Lea, yang melahirkan banyak anak bagi Yakub. Semoga kamu menjadi kaya antara puak Efrata dan terkenal di Betlehem.

12 Semoga anak-anak yang akan dikurniakan TUHAN kepadamu daripada wanita muda ini menjadikan keluargamu seperti keluarga Peres, anak Yehuda dan Tamar.”

13 Kemudian Boas membawa Rut pulang sebagai isterinya. TUHAN memberkati Rut dan dia mengandung, lalu melahirkan seorang anak lelaki.