15 Suatu penyakit yang dahsyat juga akan menimpa kuda, baghal, unta, dan keldai, serta semua binatang di perkhemahan musuh.
16 Kemudian semua orang dari bangsa-bangsa yang masih hidup, yang menyerang Yerusalem, akan datang ke Yerusalem setiap tahun untuk menyembah Raja, TUHAN Yang Maha Kuasa, dan untuk merayakan Perayaan Pondok Daun.
17 Jika ada bangsa yang tidak mahu datang untuk menyembah Raja, TUHAN Yang Maha Kuasa, hujan tidak akan turun di negeri mereka.
18 Jika bangsa Mesir tidak mahu merayakan Perayaan Pondok Daun, mereka pun akan ditimpa penyakit yang didatangkan TUHAN kepada setiap bangsa yang tidak mahu pergi beribadat.
19 Itulah hukuman yang akan dijatuhkan kepada Mesir dan semua bangsa, jika mereka tidak merayakan Perayaan Pondok Daun.
20 Pada masa itu loceng-loceng pada abah-abah kuda pun akan diukir dengan kata-kata “Ditahbiskan untuk TUHAN.” Periuk belanga di Rumah TUHAN akan menjadi suci seperti mangkuk-mangkuk yang diletakkan di hadapan mazbah.
21 Semua periuk belanga di Yerusalem dan Yehuda akan menjadi milik TUHAN Yang Maha Kuasa. Orang yang mempersembahkan korban akan menggunakan perkakas itu untuk merebus daging korban yang telah dipersembahkan. Apabila masa itu tiba, tiada lagi pedagang di Rumah TUHAN Yang Maha Kuasa.