Zakharia 3 BM

Penglihatan tentang Imam Agung

1 Dalam penglihatan yang lain, TUHAN menunjukkan Imam Agung Yosua kepadaku. Imam Agung Yosua sedang berdiri di hadapan malaikat TUHAN. Iblis yang telah bersedia untuk menuduh Yosua, berdiri di sebelah Yosua.

2 Malaikat TUHAN berkata kepada Iblis, “Semoga TUHAN menghukum engkau, hai Iblis! Semoga TUHAN yang mengasihi Yerusalem menghukum engkau. Orang ini bagaikan puntung kayu yang ditarik dari api.”

3 Yosua berdiri di situ dengan pakaian yang sangat kotor.

4 Malaikat itu berkata kepada pembantu-pembantunya di syurga, “Buanglah pakaian kotor yang dipakai orang ini.” Kemudian dia berkata kepada Yosua, “Aku telah membuang dosamu; aku akan memberi engkau pakaian baru.”

5 Dia memerintahkan pembantu-pembantunya memasang serban bersih pada kepala Yosua, lalu mereka melakukannya. Selepas itu mereka mengenakan pakaian baru pada Yosua sementara malaikat TUHAN berdiri di situ.

6 Kemudian malaikat TUHAN itu memberitahu Yosua

7 firman TUHAN Yang Maha Kuasa, “Jika engkau mematuhi hukum-Ku dan melakukan tugas yang Aku berikan kepadamu, engkau boleh melanjutkan tugas sebagai pemimpin di dalam Rumah-Ku dan juga sebagai pengurus halamannya. Aku akan mendengarkan doamu, seperti Aku mendengarkan doa para malaikat yang di hadirat-Ku.

8 Dengarlah hai Imam Agung Yosua, dan juga kamu imam-imam yang menjadi rakannya, kamu semua lambang masa depan yang baik. Pada masa itu, Aku akan mengutus hamba-Ku yang disebut ‘Tunas’.

9 Aku akan meletakkan sebuah batu bersegi tujuh di hadapan Yosua. Aku akan mengukirkan tulisan-tulisan pada batu itu. Dalam satu hari, Aku akan membuang dosa negeri ini.

10 Apabila hari itu tiba, setiap orang akan menjemput jirannya datang dan menikmati kedamaian dan keamanan di tengah-tengah ladang anggur dan pokok ara kamu.”

Bab

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14