1 Aku memperhatikan lagi, dan kali ini aku nampak sebuah naskhah gulungan terbang di udara.
2 Malaikat itu menanyakan apa yang aku nampak. Aku menjawab, “Aku nampak sebuah naskhah gulungan terbang di udara. Panjangnya sembilan meter dan lebarnya empat meter setengah.”
3 Kemudian dia berkata kepadaku, “Pada naskhah gulungan itu ada tertulis kutukan terhadap seluruh negeri ini. Pada satu muka naskhah gulungan itu ada tertulis bahawa setiap pencuri akan dibuang dari negeri ini, dan pada muka sebelah gulungan naskhah itu ada tertulis bahawa setiap orang yang mengangkat sumpah palsu akan dibuang juga.
4 TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman bahawa Dia akan mendatangkan kutukan itu ke rumah setiap pencuri dan rumah setiap orang yang mengangkat sumpah palsu. Kutukan itu akan tinggal di rumah mereka sehingga semuanya menjadi runtuhan.”
5 Malaikat itu muncul lagi dan berkata, “Lihatlah! Ada lagi yang datang!”
6 “Apakah itu?” tanyaku.Dia menjawab, “Sebuah bakul. Bakul itu melambangkan dosa seluruh negeri ini.”
7 Bakul itu mempunyai penutup yang dibuat daripada timah hitam. Sementara aku memperhatikannya, penutup itu terangkat dan ternyata ada seorang wanita duduk di dalam bakul itu.
8 Malaikat itu berkata, “Wanita ini melambangkan kejahatan.” Kemudian dia menolak wanita itu ke dalam bakul dan menutup bakul itu.
9 Aku memandang ke atas dan nampak dua orang wanita terbang ke arahku. Mereka mempunyai sayap yang kuat seperti sayap burung ranggung. Mereka mengambil bakul tadi lalu membawanya terbang.
10 Aku bertanya kepada malaikat itu, “Ke manakah mereka membawa bakul itu?”
11 Dia menjawab, “Mereka membawanya ke Babilonia, dan akan membina kuil baginya di sana. Apabila kuil itu siap, bakul itu akan ditempatkan di situ untuk disembah.”