6 Tanpa iman, tidak seorang pun dapat menyenangkan hati Allah. Orang yang datang kepada Allah mesti percaya bahawa Allah wujud, dan bahawa Allah menganugerahi orang yang mencari-Nya.
7 Kerana beriman, Nuh mendengarkan amaran Allah tentang perkara-perkara pada masa depan, yang belum dilihat olehnya. Nuh taat kepada Allah, lalu membina sebuah bahtera yang kemudian menyelamatkan dia dan keluarganya. Dengan demikian dunia dihukum, dan kerana imannya Nuh dinyatakan oleh Allah sebagai orang yang baik.
8 Kerana beriman, Abraham mentaati Allah ketika Allah memanggilnya dan menyuruhnya pergi ke negeri yang dijanjikan oleh Allah kepadanya. Abraham meninggalkan negerinya tanpa mengetahui ke mana dia akan pergi.
9 Kerana beriman, Abraham tinggal sebagai orang asing di negeri yang dijanjikan oleh Allah kepadanya. Dia tinggal di khemah dengan Ishak dan Yakub, yang menerima janji yang sama daripada Allah.
10 Hal itu demikian kerana Abraham sedang menantikan kota yang kekal, kota yang dirancang dan dibina oleh Allah.
11 Kerana beriman, Abraham dapat menjadi bapa, meskipun dia sudah sangat tua dan Sara pun mandul. Abraham yakin bahawa Allah akan menepati janji-Nya.
12 Meskipun Abraham pada masa itu sudah mati pucuk, tetapi dia mendapat keturunan sebanyak bintang di langit dan pasir di pantai.