1 Tetapi sekarang Allah memberikan janji itu kepada kita bahawa kita boleh mendapat rehat yang difirmankan-Nya. Oleh itu biarlah kita berwaspada supaya tidak seorang pun di kalangan kamu gagal mendapat rehat itu.
2 Hal itu demikian, kerana seperti mereka, kita sudah mendengar Berita Baik itu. Mereka mendengar perkhabaran itu, tetapi berita itu tidak berguna bagi mereka, kerana ketika mereka mendengarnya, mereka tidak percaya kepada janji Allah itu.
3 Tetapi kita yang percaya kepada Allah, menerima rehat yang dijanjikan oleh Allah. Hal itu sesuai dengan yang difirmankan-Nya,“Aku murka dan bersumpah,‘Mereka tidak akan masuk ke negeri itu untuk mendapat rehat bersama-sama Aku!’ ”Allah berfirman demikian meskipun kerja-Nya telah selesai sejak Dia menciptakan dunia ini.
4 Tentang hari ketujuh, ada tertulis di dalam Alkitab, “Pada hari ketujuh Allah berehat daripada semua kerja-Nya.”
5 Hal itu dikatakan sekali lagi, “Mereka tidak akan masuk ke negeri itu untuk mendapat rehat bersama-sama Aku.”
6 Mereka yang lebih dahulu mendengar Berita Baik itu, tidak mendapat rehat itu kerana mereka tidak percaya. Jika demikian, ada orang lain yang boleh mendapat rehat itu.
7 Hal ini nyata kerana Allah telah menentukan suatu hari yang lain, yang disebut “Hari Ini.” Allah berfirman tentang hal ini bertahun-tahun kemudian melalui Daud, dalam ayat yang telah dikutip tadi,“Jika pada hari ini kamu mendengar suara Allah,janganlah berkeras kepala.”
8 Sekiranya Yosua sudah memberi mereka rehat yang dijanjikan oleh Allah, tentu Allah tidak akan berfirman lagi tentang suatu hari yang lain.
9 Oleh itu masih ada lagi rehat bagi umat Allah, seperti Allah berehat pada hari yang ketujuh itu.
10 Hal itu demikian kerana sesiapa mendapat rehat yang dijanjikan oleh Allah, akan berehat juga daripada kerjanya sebagaimana Allah berehat daripada kerja-Nya.
11 Oleh itu, marilah kita berusaha sebaik-baiknya untuk mendapat rehat yang dijanjikan oleh Allah. Janganlah seorang pun daripada kita gagal seperti mereka dahulu, kerana tidak percaya kepada Allah.
12 Firman Allah itu hidup dan berkuasa, lebih tajam daripada pedang bermata dua. Firman itu menusuk sampai ke batas antara jiwa dan roh, sampai ke batas antara sendi-sendi dan tulang sumsum. Firman Allah menghakimi fikiran dan niat hati manusia.
13 Tiada sesuatu pun dapat disembunyikan daripada Allah. Segala sesuatu di alam semesta terbuka dan terdedah di sisi Allah. Kita semua harus memberikan pertanggungjawapan tentang hidup kita kepada Allah.
14 Oleh itu, hendaklah kita berpegang teguh kepada pengakuan iman kita, kerana kita mempunyai Imam Agung yang besar, yang sudah masuk ke hadirat Allah. Dia Yesus, Anak Allah.
15 Imam Agung kita ini bukanlah imam yang tidak dapat bersimpati terhadap segala kelemahan kita. Sebaliknya, kita mempunyai Imam Agung yang pernah dicubai dalam segala hal seperti kita sendiri, tetapi Dia tidak berbuat dosa!
16 Oleh itu, marilah kita dengan penuh keberanian menghadap takhta Allah, kerana di situ rahmat-Nya melimpah. Di situ kita akan menerima belas kasihan-Nya dan mengalami kasih-Nya, pada masa kita memerlukan pertolongan.