1 Perjanjian pertama mengandungi peraturan ibadat, dan mempunyai tempat ibadat buatan manusia.
2 Khemah yang didirikan di bahagian paling depan, dinamakan Bilik Suci. Di situ terdapat sebuah kaki pelita dan sebuah meja dengan roti yang dipersembahkan kepada Allah.
3 Di belakang tirai kedua, terdapat bahagian khemah yang dinamakan Bilik Maha Suci.
4 Di situ terdapat mazbah emas yang digunakan untuk membakar kemenyan dan juga terdapat Tabut Perjanjian yang seluruhnya disalut dengan emas. Di dalam Tabut itu terdapat balang emas berisi manna, tongkat Harun yang telah bertunas, dan dua buah batu tulis yang bertuliskan sepuluh hukum Allah.
5 Di atas Tabut itu terdapat dua kerub iaitu makhluk bersayap yang melambangkan hadirat Allah. Sayap kerub ini terbentang di atas penutup Tabut, tempat dosa diampunkan. Tetapi sekarang bukanlah masanya untuk menerangkan semuanya dengan terperinci.
6 Demikianlah semua itu diatur. Setiap hari imam-imam masuk ke dalam bahagian depan khemah itu untuk menjalankan tugas mereka.
7 Hanya Imam Agung yang masuk ke bahagian paling dalam daripada khemah itu, dan hal itupun dilakukannya hanya sekali setahun. Dia membawa darah yang dipersembahkannya kepada Allah bagi dirinya sendiri dan bagi dosa yang dilakukan oleh umat dengan tidak disedari.
8 Dengan aturan tersebut, Roh Allah mengajar kita dengan jelas, bahawa selama bahagian depan khemah itu masih berdiri, jalan masuk ke dalam Bilik Maha Suci itu masih belum terbuka.
9 Hal ini melambangkan zaman sekarang. Maknanya, semua persembahan dan korban binatang yang dipersembahkan kepada Allah tidak dapat menyempurnakan hati nurani orang yang membawa persembahan.
10 Semua itu hanya berkenaan dengan makanan, minuman, dan berbagai-bagai upacara penyucian. Semua itu hanya peraturan lahir yang berlaku sehingga masanya Allah mengadakan pembaharuan.
11 Tetapi Kristus sudah datang sebagai Imam Agung daripada perkara-perkara baik, yang sudah ada di sini. Khemah tempat Dia menjalankan tugas sebagai Imam Agung, adalah lebih penting dan lebih sempurna. Khemah itu tidak dibuat oleh manusia, ertinya bukan sebahagian daripada dunia yang diciptakan ini.
12 Ketika Kristus memasuki Bilik Maha Suci sekali sahaja untuk selama-lamanya, Dia tidak membawa darah kambing dan darah lembu jantan untuk dipersembahkan. Tetapi Dia membawa darah-Nya sendiri, dan dengan demikian Dia membebaskan kita selama-lamanya.
13 Darah kambing dan darah lembu jantan, serta abu daripada korban anak lembu, dipercikkan ke atas orang yang najis menurut peraturan agama. Perbuatan itu menyucikan mereka daripada semua yang menajiskan mereka.
14 Jika orang dapat disucikan dengan cara itu, darah Kristus lebih berkuasa pula! Melalui Roh yang kekal, Kristus mempersembahkan diri-Nya sendiri kepada Allah sebagai korban yang sempurna. Darah-Nya akan menyucikan hati nurani kita daripada upacara agama yang sia-sia, supaya kita boleh mengabdikan diri kepada Allah yang hidup.
15 Itulah sebabnya Kristus menjadi Pengantara bagi suatu perjanjian baru, supaya orang yang sudah dipanggil oleh Allah boleh menerima berkat kekal yang sudah dijanjikan oleh Allah. Hal itu dapat berlaku kerana Kristus telah mati untuk membebaskan orang daripada kesalahan yang dilakukan mereka pada masa perjanjian pertama masih berlaku.
16 Jika ada surat wasiat, haruslah dibuktikan bahawa orang yang membuat surat wasiat itu sudah meninggal.
17 Surat wasiat tidak bererti apa-apa selagi orang yang membuatnya masih hidup. Surat itu berlaku hanya setelah orang itu meninggal.
18 Itulah sebabnya perjanjian pertama pun harus disahkan dengan darah.
19 Mula-mula Musa menyampaikan semua perintah dalam Taurat kepada umat Israel. Setelah itu dia mengambil darah lembu jantan dan darah kambing, lalu mencampurnya dengan air, kemudian memercikkannya pada kitab Taurat dan pada seluruh umat, dengan menggunakan setangkai rumput hisop dan bulu domba berwarna merah.
20 Musa berkata, “Inilah darah yang mengesahkan perjanjian daripada Allah yang harus kamu taati.”
21 Dengan cara yang sama, Musa juga memercikkan darah itu pada Khemah Tuhan dan pada semua alat untuk ibadat.
22 Sebenarnya, menurut Taurat, hampir segala sesuatu disucikan dengan darah. Demikian juga dosa hanya dapat diampunkan jika ada penumpahan darah.
23 Hal-hal yang melambangkan perkara-perkara di syurga, perlu disucikan dengan cara tersebut. Tetapi perkara-perkara di syurga itu memerlukan korban yang jauh lebih baik.
24 Kristus tidak masuk ke Bilik Suci buatan manusia, yang hanya melambangkan Bilik Suci sebenarnya. Tetapi Kristus masuk ke syurga; di sana Dia sekarang menghadap hadirat Allah sebagai wakil kita.
25 Setiap tahun Imam Agung Yahudi masuk ke dalam Bilik Maha Suci dengan membawa darah seekor binatang. Tetapi Kristus tidak masuk untuk mempersembahkan diri-Nya berulang kali;
26 kerana jika demikian, Dia harus menderita berulang kali sejak dunia ini dijadikan. Sebaliknya, sekarang pada zaman akhir ini Dia menunjukkan diri satu kali sahaja untuk selama-lamanya, bagi menghapuskan dosa dengan mengorbankan diri-Nya sendiri.
27 Semua orang mesti mati satu kali, dan setelah itu dihakimi oleh Allah.
28 Demikian juga Kristus dipersembahkan sebagai korban satu kali sahaja untuk menghapuskan dosa banyak orang. Dia akan menunjukkan diri sekali lagi, bukan untuk menyelesaikan masalah dosa, tetapi untuk menyelamatkan orang yang menantikan Dia.